JASIN 10 Mei - Barisan Nasional (BN) Melaka menyelar taktik kotor Pakatan Harapan diketuai DAP yang mahu menggunakan jentera pilihan raya parti komponen itu untuk membantu mereka dalam Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14).
Pengerusi BN negeri, Datuk Seri Idris Haron mendedahkan, beliau dim
aklumkan mengenai perkara itu ketika bertemu dengan seorang pemimpin pakatan itu baru-baru ini.
Menurutnya, pemimpin Pakatan Harapan tersebut secara berterus-terang menyatakan mereka tidak memerlukan jentera parti bagi menghadapi PRU-14, sebaliknya menggunakan jentera BN sedia ada.
“Ini satu penghinaan kepada seluruh jentera BN di Melaka dan ingin saya tegaskan, jentera kita bukan barang dagangan yang boleh dijual beli. Jika ada yang terpengaruh itu bermakna mereka bukan berjuang untuk membela agama, bangsa dan negara, sebaliknya berjuang kerana wang serta kepentingan peribadi,” katanya.
Beliau yang juga Ketua Menteri Melaka berkata demikian selepas melancarkan Himpunan Jalinan Rakyat (JR) Plus BN Parlimen Jasin di Bemban, di sini hari ini.
Yang turut hadir Pengerusi BN Parlimen Jasin, Datuk Seri Ahmad Hamzah; Timbalannya, Datuk Ghazale Muhamad dan Ketua Wanita BN Parlimen Jasin, Datuk Zaleha Bujang.
Mengulas lanjut Idris berkata, hasrat pemimpin pakatan pembangkang itu membuktikan mereka tidak mampu untuk menyaingi kekuatan jentera BN yang sudah pasti akan berjuang habis-habisan bagi mengekalkan kerajaan sedia ada.
“Pakatan itu dilihat terdesak untuk mencari sokongan dan kekuatan pada PRU-14. Taktik kotor itu tidak boleh diterima rakyat dan pengundi sudah pasti akan menunjukkan mereka jalan keluar pada pilihan raya kelak,” katanya.
Sementara itu beliau berkata, semua 34,000 JR Plus BN seluruh negeri sudah digerakkan untuk menyusun strategi meraih sokongan rakyat pada PRU-14.
© Utusan Melayu (M) Bhd
Sumber : Utusanonline
0 comments: