PEKAN - Istana Pahang hari ini menafikan tentang keadaan kesihatan Sultan Pahang Sultan Ahmad Shah 'berada dalam keadaan membimbangkan' seperti yang ditularkan dalam media sosial termasuk menerusi aplikasi WhatsApp sejak petang tadi.
Menurut Setiausaha Sulit Khas Kepada Sultan Pahang, Lt Kol (B) Nor Hashim Abdul Aziz pekeliling yang kononnya datang dari Istana Abu Bakar dengan memetik Pengelola Bijaya Diraja yang menjunjung titah Pemangku Raja Pahang Tengku Abdullah Sultan Ahmad Shah, meminta semua keraian dan bentuk hiburan kerajaan ditiadakan ekoran keadaan kesihatan Sultan Pahang itu, sebenarnya adalah palsu.
"Ia adalah satu perbuatan tidak bertanggungjawab dan Tengku Abdullah tidak pernah mengeluarkan titah berkenaan," katanya dalam kenyataan media di sini, hari ini.
Menurutnya, pihak istana kesal dengan penyebaran berita palsu berkenaan dan menegaskan keadaan kesihatan semasa tuanku adalah baik.
Sejak petang tadi, tersebar satu pekeliling menerusi laman sosial kononnya dikeluarkan Istana Abu Bakar yang meminta semua aktiviti keraian dan hiburan di negeri ini dihentikan selain meminta semua kerabat, pembesar negeri, datuk kurniaan Pahang, ketua kampung dan seterusnya rakyat di setiap pelusuk negeri mendoakan keselamatan Sultan Pahang.
- Bernama
Sumber : Sinarharian
0 comments: