Datuk Seri Najib Tun Razak melambaikan tangan kepada anggota Umno dari seluruh negara pada sambutan Ulang Tahun Umno ke-71 di Stadium Nasional Bukit Jalil, malam ini. - Foto Bernama
KUALA LUMPUR - "Siapa kata Umno tidak kuat? Lihatlah gerombolan merah malam ini," demikian ujar Presiden Umno, Datuk Seri Najib Tun Abdul Razak bersempena himpunan ulang tahun ke-71 Umno di stadium Bukit Jalil, malam ini.
Katanya, jumlah itu baharu sebahagian yang berkumpul malah beliau percaya, masih ramai lagi di luar sana yang setia menyokong parti keramat Melayu itu.
"Sebahagian ramai lagi di kampung, kawasan perumahan... kira juta lagi.
"Jadi lihatlah sambutan ini," katanya di sini, malam ini.
Dalam pada itu, Najib berkata beliau sangat teruja dengan sambutan penyokong Umno dalam himpunan kali ini.
"Saya sangat teruja, kita bermandikan lautan merah.
"Dan malam ini menjadi bukti yang nyata tidak lain dan bukan perhimpunan kita menunjukkan inilah lambang kekuatan Umno, lambang kesetian dan lambang pengorbanan," katanya.
Terdahulu, lebih 100,000 anggota Umno memasuki Stadium Nasional Bukit Jalil sehingga lewat petang ini dengan pakaian serba merah untuk menghadiri perhimpunan raksasa bersempena ulang tahun ke-71 Umno malam ini, mewujudkan suasana 'Gelombang Merah' di dalam dan di sekitar stadium itu.
Mereka mula memasuki kawasan stadium secara berperingkat sejak pukul 2 petang walaupun acara hanya akan bermula jam 8 malam.
Suasana pesta turut dirasai di stadium dan kawasan sekitarnya dengan pelbagai gerai menawarkan jualan makanan dan cenderamata Umno, antaranya kemeja-T dan mafla.
Ulang tahun Umno yang bertemakan 'Tujuh Dekad Memperjuang Bangsa' itu menjadi yang terbesar pernah diadakan dalam sejarah Umno dengan jangkaan penyertaan lebih 140, 000 anggotanya dari seluruh negara.
Sumber : Sinarharian
0 comments: