Timbalan Mursyidul Am PAS, Datuk Ahmad Yakob berkata, tidak ada sebarang fakta dan bukti khusus yang boleh membayangkan Pakatan Harapan (HARAPAN) boleh menumbangkan kerajaan sedia ada dalam pilihan raya umum ke-14 (PRU14).
Malah, katanya, tiada sebarang ramalan dibuat mengenai perkara itu dan PAS tidak sesekali gentar dengan perkara itu, malah terus optimis dengan kekuatan yang ada, memetik laporan Sinar Harian.
“Setakat ini tiada lagi ramalan kata pakatan akan menang, ataupun mereka sekuat parti-parti lain,” beliau dilaporkan sebagai berkata.
Sementara itu, Ahmad Yakob berkata sehingga kini PAS dan Umno tidak mempunyai apa-apa persefahaman dan parti itu masih lagi musuh tradisi PAS.
Menteri Besar Kelantan itu berkata demikian ketika diminta mengulas kenyataan Ketua Penerangan Umno, Tan Sri Annuar Musa yang menyatakan Umno dan PAS perlu meraikan persamaan yang ada di antara kedua-dua parti itu.
Katanya, walaupun PAS meraikan hubungan dengan Umno dan BN, namun parti Islam itu masih kukuh bersama blok ketiga yang telah dibina dan bersedia segala kemungkinan pada PRU14 kali ini.
“Sememangnya kita meraikan hubungan (kerajaan dan kerajaan) itu demi kepentingan rakyat, apa pun yang melibatkan hubungan tersebut, kita hormatlah bagi memastikan hak rakyat dapat diperjuangkan, namun dari segi politik, kita masih seperti dulu,” kata beliau.
Sumber : Malaysiakini
0 comments: