Wednesday, May 10, 2017

ADUN DAP berbeza pandangan dengan Sultan Johor


Sultan Johor, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar ketika bertitah sempena pembukaan penggal kelima Dewan Undangan Negeri (DUN) Johor Khamis lalu, menolak cadangan untuk mengadakan siaran langsung persidangan dewan.
Bagaimanapun, ADUN Mengkibol, Tan Hong Pin dari DAP ketika membahaskan titah sultan semalam, menyatakan pandangan berbeza.
Beliau berkata, mengikut tradisi atau konvensyen komanwel, titah diraja merupakan dokumen yang menggambarkan hasrat dan dasar kerajaan semasa.
Justeru itu, Tan berkata, apabila sultan menyebut perkara itu, ia menunjukkan bahawa kerajaan negeri masih belum bersedia untuk melaksanakan siaran langsung persidangan DUN.
"Kerajaan wajar menjelaskan sebab-sebab mengapakah kerajaan begitu keberatan untuk membolehkan rakyat mengikuti persidangan dewan yang mulia ini melalui pelbagai saluran yang ada sekarang?
"Alasan bahawa bimbang jika ada di kalangan ahli-ahli yang berhormat dalam dewan yang mulia ini akan menjejaskan imej dewan negeri sebenarnya tidak wujud," kata Tan.
Tan menegaskan bahawa beliau percaya ADUN Johor adalah matang dan boleh bertindak profesional.
"Jika benar ada di kalangan ahli-ahli dewan yang bertindak liar atau tidak berbudi bahasa, bukankah perbuatan liar tersebut perlu didedahkan kepada rakyat supaya rakyat lihat sendiri bagaimanakah wakil rakyat mereka berhujah dalam dewan negeri.
"Dan jika mereka berasa tidak setuju biarlah menolak wakil rakyat seperti ini melalui kertas undi semasa  pilihan raya," katanya.
Bagaimanapun, Tan berkata, jika kebimbangan mengenai siaran langsung itu adalah dari sultan Johor sendiri, maka beliau menggesa kerajaan meyakinkan baginda mengenai cadangan itu.
"Sekiranya benar wujudnya kebimbangan oleh DYMM Tuanku Sultan, saya memohon kerajaan meyakinkan tuanku dengan menerangkan keperluan dan kebaikan untuk melaksanakan siaran langsung ini," katanya.
Sumber  "  Malaysiakini
Previous Post
Next Post
Related Posts

0 comments: