GLOBAL l Emmanuel Macron diisytiharkan memenangi pilihan raya Presiden Perancis selepas mengenepikan lawannya, Marine Le Pen.
Calon bebas haluan sederhana itu dilaporkan menerima 65.31 peratus daripada undi dikira malam semalam, waktu tempatan.
Kemenangan disahkan data yang dikeluarkan oleh Kementerian Dalam Negeri.
Daripada jumlah undi itu, kira-kira 12.5 peratus undi dilaporkan rosak.
Bagaimanapun, tarikh bagi Macron mengangkat sumpah jawatan minggu depan di Istana Elysee belum ditetapkan.
Majlis itu dijangka diadakan sebelum berakhirnya penggal perkhidmatan Presiden Francois Hollande pada 14 Mei ini.
Macron dijangka menghadiri majlis rasmi sebagai bakal presiden hari ini sempena majlis memperingati Hari Kemenangan Perang Dunia Kedua. Majlis Perlembagaan dijangka mengumumkan keputusan rasmi undian, Khamis ini.
Sementara itu, AFP melaporkan ucapan tahniah kepada Macron mula mencurah.
Antara pemimpin dunia yang berbuat demikian adalah Presiden Amerika Syarikat, Donald Trump.
Trump yang tidak pernah menyatakan sokongan kepada Macron mahupun Marine Le Pen, memuat naik tweet menerusi akaun Twitter rasminya.
"Tahniah kepada Emmanuel Macron kerana menang besar sebagai bakal Presiden Perancis. Saya amat berharap dapat bekerjasama dengan beliau!".
Canselor Jerman, Angela Merkel menerusi jurucakapnya berkata: "Tahniah Emmanuel Macron. Kejayaan anda adalah untuk perpaduan dan keutuhan Eropah dan sebagai tanda persahabatan Perancis-Jerman."
Jurucakap Downing Street, berkata Perdana Menteri Britain, Theresa May menyampaikan ucapan tahniah kepada Macron atas kejayaannya.
"Perancis adalah antara sekutu rapat kami dan kami berharap dapat menjalin kerjasama dengan presiden baru dalam pelbagai bidang keutamaan yang lebih meluas."Perdana Menteri Kanada, Justin Trudeau, mahu bekerjasama dengan Macron dalam agenda progresif untuk mempromosi keselamatan antarabangsa, meningkatkan kerjasama dalam sains dan teknologi dan mengadakan peluang pekerjaan berkualiti, kelas pertengahan bagi kedua-dua negara itu.
Perdana Menteri Greece, Alexis Tsipras berkata, kejayaan Macron adalah inspirasi buat Perancis dan Eropah, sambil menambah sedia menjalin kerjasama rapat.
Perdana Menteri Sepanyol, Mariano Rajoy, berkata: "Tahniah kepada Emmanuel Macron, presiden baru Perancis. Marilah kita bekerjasama di Perancis dan Sepanyol untuk kestabilan, kemakmuran dan Eropah yang lebih berintegrasi".
Sumber : Malaysiakini
0 comments: