Saturday, May 6, 2017

Hadi beri bayangan peralihan kuasa di Selangor



Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang memberi bayangan kemungkinan akan berlaku peralihan kuasa pemerintahan di Selangor ketika desas-desus mengenai usaha ke arah itu makin kencang kedengaran.
Portal Utusan Malaysia Online memetiknya berkata demikian, susulan perkembangan terbaru setelah Muktamar PAS ke-63 di Alor Setar, Kedah, minggu lalu, bersetuju meminta Majlis Syura Ulama membuat ketetapan memutuskan tahaluf siyasi dengan PKR yang menerajui negeri itu.
"Biasalah, kemungkinan (boleh) berlaku," katanya yang dipetik portal milik Umno itu.
Utusan juga memetik Abdul Hadi yang juga Ahli Parlimen Marang ketika bercakap dalam sidang akhbar di Pulau Kapas dekat Marang semalam sebagai berkata, semua pemimpin PAS di Selangor akan patuh kepada arahan kepemimpinan parti terutama berkaitan isu berkenaan.
"Apa yang penting adalah semua pemimpin (PAS) Selangor akan patuh pada arahan Pusat (PAS), itu yang penting.
“Apa-apa pun tindakan, kita akan lihat perkembangan selanjutnya," katanya.
Presiden PAS itu juga ditanya mengenai kemungkinan pilihan raya di Selangor akan diadakan lebih awal dan Abdul Hadi berkata, perkara itu terpulang kepada budi bicara Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah.
"Itu terpulang kepada Selangor kerana negeri itu ada perlembagaannya sendiri yang perlu dirujuk, katanya.

PAS minggu lalu sebulat suara meluluskan usul untuk menggesa agar Majlis Syura Ulama PAS memutuskan hubungan dengan PKR.
Parti itu kini masih menjadi sebahagian daripada kerajaan negeri Selangor yang diterajui PKR, dengan beberapa wakilnya dilantik sebagai exco.
Langkah itu jika diluluskan Majlis Syura Ulama bakal memberi kesan terhadap kedudukan exco PAS di bawah pentadbiran Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Azmin Ali.
Previous Post
Next Post
Related Posts

0 comments: