Sebuah lagu ketuhaan yang sederhana, tetapi rupa-rupanya 'berbahang' hingga ke Moscow.
Itu penangan lagu ciptaan komposer Indonesia, Cahaya Bunga Sarigih, yang mengilhamkan Sajadah Ka'bah pada akhir 2015 hasil daripada insiden spontannya di Tanah Suci.
Ketika itu Cahaya mengerjakan umrah kali pertama dan Sajadah Ka'bah asalnya dinyanyikan oleh Deddy Dores.
Kini lagu sama dinyanyikan oleh Allahyarham Deddy bersama Rahmad Mega secara berduet melalui kecanggihan teknologi.
Lagu itu kemudian dimuat naik ke YouTube. Tanpa disangka ia mendapat reaksi daripada pengguna Internet di Russia.
"Apabila lagu itu dimuat naik di YouTube - walaupun sekadar slaid saja - ia seakan-akan meledak di Russia," kata Cahaya yang ditemui di Jakarta baru-baru ini.
Menurut dia, banyak orang Russia meninggalkan komen yang mengkritik Islam pada video berkenaan.
Selain itu, kata Cahaya, mereka menggesa video itu diturunkan kerana didapati menggangu promosi kempen Vladimir Putin, malah menyebabkan kadar tontonan terhadap presiden Russia itu terjejas.
"Pada awalnya, lagu itu hanya mendapat empat like tetapi kemudian meningkat hingga 2,000 selepas sehari dua disiarkan. Saya yakin ini ketentuan Allah," katanya.
Jangan sibuk berantam
Cahaya asalnya bukan beragama Islam. Dia beragama Katolik. Hanya dua tahun lalu dia mengucap dua kalimah syahadah. Dan sejak itu Cahaya gigih menghasilkan lagu ketuhanan.
Setakat ini, dia sudah menghasilkan sekurang-kurang 50 buah lagi berunsur ketuhanan.
Dia ditemui media di kediaman keluarga allahyarham Deddy Dores di Bintaro, Tangerang Selatan.
Selain Cahaya, Rahmad - atau nama penuhnya Rahmad Tohak - juga hadir di situ sebagai suatu tanda hormat bagi mendapatkan restu keluarga Deddy yang diwakili anak allahyarham, Agnes Dores (gambar, tengah) sebelum mereka mempopularkan Sajadah Ka'bah sepenuhnya.
Tidak ketinggalan menemani Cahaya ialah suaminya, Maman Piul.
"Saya perlu minta izin dari keluarga almarhum. Saya ingin memperkenalkan diri sebagai orang yang akan membawakan karya almarhum," kata Rahmad yang berbangga dapat berduet dengan Deddy walaupun selepas penyanyi itu meninggal dunia.
Sajadah Ka'bah yang dimuatkan dalam album Cahaya dari Kaabah akan dilancarkan pada 17 Mei depan di Jakarta.
Pada hari sama akan turut diadakan sebuah konsert amal dan sebanyak 15 peratus kutipan akan diserahkan kepada anak yatim dan pesakit talasemia.
Untuk makluman, Sajadah Ka'bah telah diterbitkan dua tahun lalu dan pernah dinyanyikan oleh sekurang-kurang lima penyanyi Indonesia.
Bagaimanapun, vokal mereka dikatakan kurang serasi dengan Deddy.
Sebenarnya, Cahaya memang berimpian besar terhadap Sajadah Ka'bah.
Katanya, kolaborasi antara Malaysia dan Indonesia diharapkan dapat membawa perubahan hubungan antara Malaysia dan republik itu.
"Semoga dengan lagu ini kita yang bersaudara Muslim peroleh kebaikan dan menikmati perkara indah, insya-Allah.
"Apa lagi Malaysia dan Indonesia sibuk berantam (bertelagah). Mudah-mudahan dengan lagu Sajadah Ka'bah kita dapat merapatkan balik hubungan," katanya.
sumber : Malaysiakini
0 comments: