Sunday, May 14, 2017

Nasib 3 Exco diserah kepada Jawatankuasa Pas Pusat

Nasib 3 Exco diserah kepada Jawatankuasa Pas Pusat

KEPALA BATAS - Pas akan menyerahkan kepada Jawatankuasa Pas Pusat mengenai nasib tiga wakil Pas di dalam Exco kerajaan negeri Selangor.

Mursyidul Am Pas, Hashim Jasin berkata biarpun Majlis Syura telah memutuskan tahaluf siyasi (kerjasama politik) dengan PKR, nasib ketiga Exco Pas di Selangor belum lagi diputuskan.

"InsyaALLAH, jawatankuasa akan mengadakan mesyuarat bagi membincangkan nasib ketiga Exco ini pada Khamis ini.

"Jawatankuasa kerja pusat mempunyai lajnah politik sendiri di mana isu atau perkara berkaitan soal ini akan dibincangkan pada peringkat ini, dan kita akan menyerahkan kepada jawatankuasa ini akan apa nasib ketiga Exco Pas dalam kerajaan negeri Selangor itu," katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang media selepas hadir merasmikan Majlis Pelancaran Jentera Pilihanraya Pas Kawasan Kepala Batas di Kota Aur, Penaga.

Sebelum ini, Pas Selangor mengekalkan khidmat tiga Exconya dalam pentadbiran Kerajaan Selangor sehingga Dun dibubarkan, walaupun Majlis Syura Ulama parti itu memutuskan untuk membatalkan hubungan politik dengan PKR.

Pesuruhjaya Pas Selangor yang baharu, Sallehen Mukhyi berkata, khidmat tiga Exco itu perlu dikekalkan kerana ia adalah mandat yang diberi oleh rakyat pada PRU13.

Namun Sallehen berkata, Pas Selangor akur dan menghormati keputusan Majlis Syura Ulama Pas yang memutuskan hubungan politik tahaluf siyasi antara Pas dan PKR telah terbatal.

Tiga exco berkenaan adalah Datuk Iskandar Abdul Samad yang memegang portfolio Jawatankuasa Tetap Perumahan, Pengurusan Bangunan dan Kehidupan Bandar; Datuk Dr Ahmad Yunus Hairi yang menyandang portfolio Jawatankuasa Tetap Pendidikan, Pembangunan Modal Insan, Sains dan Teknologi dan Inovasi serta Zaidy Abdul Talib yang menyandang Jawatankuasa Tetap Infrastruktur dan Kemudahan Awam, Pemodenan Pertanian dan Industri Asas Tani.

Sumber  :  Sinarharian
Previous Post
Next Post
Related Posts

0 comments: