Thursday, May 11, 2017

Mahkamah Arbitrasi beri ‘persetujuan’ penyelesaian IPIC-1MDB


Mahkamah Aribtrasi Antarabangsa di London memberi ‘persetujuan’ atau kelulusan untuk rundingan penyelesaian antara 1MDB dan syarikat International Petroleum Investment Company (IPIC), milik Abu Dhabi.
Anugerah persetujuan itu mengikut konteks undang-undang Malaysia, adalah serupa dengan tindakan mahkamah mengakui bahawa pihak-pihak bertelagah memilih untuk penyelesaian di luar mahkamah.
IPIC, dalam satu kenyataan kepada Bursa Saham London hari ini, mendedahkan bahawa anugerah persetujuan diberikan pada Selasa lalu.

Perkembangan itu penting kerana ia akan membolehkan penyelesaian yang dicadangkan antara 1MDB dan IPIC untuk diteruskan.
"Berikutan pengumuman pada 24 April penyelesaian bersyarat dicapai antara IPIC, Aabar Investments PJS, Menteri Kewangan (Diperbadankan) (MOF Inc) dan 1MDB, anugerah persetujuan dibuat pada 9 Mei.
"Sehubungan itu, penyelesaian berkenaan berhubung prosiding timbang tara kini adalah tanpa syarat atau ikatan Mahkamah Arbitrasi Antarabangsa," kata IPIC dalam pengumuman di Bursa Saham London.
Pada 24 April, IPIC berkata 1MDB dan MOF Inc bersetuju untuk membayar AS$1.2 bilion dan juga memikul tanggungjawab sebagai penjamin ke atas bayaran pokok dan faedah dua bon bernilai AS$4.8 bilion yang sebelum ini dijamin oleh IPIC.
Di bawah penyelesaian itu, 1MDB dan IPIC juga akan memasukkan butiran perbincangan dengan niat baik mengenai dana 1MDB yang telah dibayar kepada entiti tertentu.
Pemimpin pembangkang membidas perjanjian penyelesaian secara tergesa-gesa oleh Putrajaya itu yang akan menyaksikan Malaysia membelanjakan AS$6 bilion di sebalik wang AS$3.51 bilion yang didakwa telah dibayar oleh 1MDB kepada IPIC.
"Entiti tertentu" yang disebut itu dipercayai merujuk kepada mana dana AS$3.51 bilion itu disalurkan.

1MDB berkata, wang itu telah dibayar kepada Aabar Investments PJS Ltd (BVI), sebuah syarikat yang mempunyai nama yang hampir sama dengan anak syarikat IPIC, iaitu Aabar Investments PJS.Walau bagaimanapun, IPIC menafikan syarikat yang berdaftar di Kepulauan British Virigin itu adalah anak syarikatnya.
Berikutan berita penyelesaian itu, Menteri Kewangan II Datuk Johari Abdul Ghani, yang menyelia pelan rasionalisasi 1MDB, mendedahkan bahawa wujud surat yang membuktikan bahawa Aabar Investsments PJS Limited (BVI) adalah milik IPIC bagi menyokong kes itu untuk timbang tara.
Beliau bagaimanapun, kemudian menjauhkan dirinya daripada penyelesaian itu, dengan berkata bahawa ia diterajui oleh pegawai-pegawai 1MDB dan Pejabat Perdana Menteri.
Sumber  :  Malaysiakini
Previous Post
Next Post
Related Posts

0 comments: