Thursday, May 11, 2017

'Gelombang Merah' di Stadium Nasional Bukit Jalil

'Gelombang Merah' di Stadium Nasional Bukit Jalil

KUALA LUMPUR: Lebih 100,000 anggota UMNO memasuki Stadium Nasional Bukit Jalil sehingga lewat petang ini dengan pakaian serba merah untuk menghadiri perhimpunan raksasa bersempena ulang tahun ke-71 UMNO malam ini, mewujudkan suasana ''Gelombang Merah'' di dalam dan di sekitar stadium itu,

Mereka mula memasuki kawasan stadium secara berperingkat sejak pukul 2 petang walaupun acara hanya akan bermula jam 8 malam.

Suasana pesta turut dirasai di stadium dan kawasan sekitarnya dengan pelbagai gerai menawarkan jualan makanan dan cenderamata UMNO, antaranya kemeja-T dan mafla.
Ulang tahun UMNO yang bertemakan ''Tujuh Dekad Memperjuang Bangsa'' itu menjadi yang terbesar pernah diadakan dalam sejarah UMNO dengan jangkaan penyertaan lebih 140,000 anggotanya dari seluruh negara.

Ratusan bas yang membawa anggota UMNO juga kelihatan memasuki kawasan stadium dan lalu lintas menjadi sesak dengan penyertaan orang awam yang memilih menaiki kenderaan sendiri.

Pengunjung awal turut dihiburkan dengan persembahan artis terkenal seperti Misha Omar, Datuk Jamal Abdillah, Wany Hasrita dan Usop Mentor Melinia.

Para anggota parti dan orang awam dari seluruh pelosok tanah air berkumpul pada malam ini untuk bersama-sama Perdana Menteri merangkap Presiden UMNO Datuk Seri Najib Tun Abdul Razak bagi memperingati penubuhan UMNO, yang sejak lebih tujuh dekad mempertahan dan membangunkan bangsa.

Acara sambutan dimulai pada 6.45 petang dengan ceramah agama disusuli solat Maghrib berjemaah.

Selain ucapan Presiden UMNO, acara lain yang dijadualkan pada malam ini adalah penyampaian hadiah Karnival Sukan dan pertandingan esei kreatif serta video pendek bersempena sambutan ulang tahun UMNO ke-71 itu.

Turut menarik perhatian adalah cabutan bertuah yang menawarkan pelbagai hadiah bernilai sehingga RM1 juta, disediakan untuk anggota UMNO yang bertuah.

-- BERNAMA

Sumber  :  Astroawani

Previous Post
Next Post
Related Posts

0 comments: