Tuesday, May 9, 2017

Calon PM kita lebih baik dari Najib, ikrar HARAPAN





Dengan pilihan raya umum dijangkakan tidak lama lagi, Pakatan Harapan masih belum menamakan calonnya untuk jawatan perdana menteri sekiranya pakatan pembangkang berjaya merampas Putrajaya.
Bagaimanapun, Setiausaha Agung PKR Datuk Saifuddin Nasution berjanji bahawa mana-mana calon yang dikemukakan itu, adalah lebih baik daripada Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak.
Ketua Setiausaha Sekretariat Pakatan Harapan, Datuk Saifuddin Abdullah sempat mencelah dan secara berseloroh berkata “mudah untuk mencari calon yang lebih baik daripada perdana menteri sekarang."
Katanya, HARAPAN juga mengambil maklum terhadap cadangan Datuk Zaid Ibrahim supaya Tun Dr Mahathir Mohamad turut dinamakan sebagai calon perdana menteri.
Kedua-dua pemimpin itu bercakap kepada media selepas mesyuarat mingguan sekretariat HARAPAN di Ibu Pejabat Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) di Petaling Jaya petang ini.
Menurut Saifuddin Nasution, tumpuan utama gabungan itu dengan mengambil kira pilihan raya umum akan datang adalah untuk mencabar idea-idea dan dasar BN.
"Sebab itu, mesyuarat kita hari ini tertumpu pada rangka kerja dasar bersama (untuk HARAPAN)," katanya.
Dalam perkembangan lain, Pengarah Komunikasi PKR Fahmi Fadzil berkata jawatankuasa media HARAPAN telah menerima 317 cadangan logo daripada orang ramai berhubung reka bentuk baru gabungan itu.
"Sehingga jam 11 pagi tadi, kami menerima 317 permohonan ... Daripada mereka yang melakar pada kertas tisu kepada mereka yang mencadangkan penjenamaan keseluruhannya,” katanya.
Sebelum ini, Naib Presiden PKR, Rafizi Ramli memuat-naik tiga draf logo HARAPAN di media sosial, dan meminta orang ramai untuk memilih satu daripadanya.Walau bagaimanapun, reka bentuk cadangan logo itu menarik kritikan dan cemuhan.
Antara yang hadir pada mesyuarat sekretariat HARAPAN hari ini adalah Setiausaha Agung Parti Amanah Negara, Anuar Tahir dan Setiausaha Organisasi Kebangsaan DAP Anthony Loke.

Sumber  :  Malaysiakini
Previous Post
Next Post
Related Posts

0 comments: