Tidak seperti pembangkang, BN sentiasa jelas dalam percaturan politik untuk memilih pemimpin, kata Ketua Perhubungan Umno Selangor, Tan Sri Noh Omar.
Katanya, pembangkang di negara ini tidak mempunyai seorang pemimpin, berbeza dengan BN yang sedang membentuk kerajaan ketika ini.
"Pembangkang ni tak ada pemimpin. Kita (BN), apa pun pemimpin kita jelas iaitu presiden Umno akan menjadi perdana menteri," katanya di Ibu Pejabat Umno Selangor di Shah Alam hari ini.
Bagaimanapun, ditanya mengenai persediaan BN merampas Selangor, Noh yang juga Menteri Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan berkata mereka belum menetapkan sesiapa sebagai calon menteri besar.
Katanya, apa yang diutamakan oleh BN ketika ini ialah memenangi pilihan raya apabila ia diadakan dan menguasai semula Selangor yang terlepas daripada mereka sejak 2008.
"Apa yang penting, menang dulu baru kita bincang bincang," katanya.
Pakatan Harapan (HARAPAN) sudah dicabar beberapa kali menamakan calon mereka untuk dilantik sebagai perdana menteri jika memenangi pilihan raya umum (PRU) ke-14 yang dijangka diadakan tidak lama lagi.
Bagaimanapun, setakat ini HARAPAN tidak menamakan sesiapa walaupun beberapa kali menegaskan mereka mempunyai calon yang sesuai.
Terkini, Timbalan Presiden PKR, Datuk Seri Azmin Ali, menyatakan HARAPAN memiliki calon berkelayakan untuk mengetuai kerajaan di Putrajaya tetapi hanya akan mengumumkannya pada masa yang sesuai.
Pada masa sama BN pula bersungguh-sungguh mahu menguasai kembali Selangor selepas ia ditadbir seteru politik mereka sejak PRU ke-12 lalu.
Menurut Noh, tumpuan terpenting buat BN ketika ini ialah memikirkan cara untuk menawan Selangor."Sekarang kita tak mahu fikir semua itu (calon menteri besar)," katanya.
Sumber : Malaysiakini
0 comments: